Isu 3R: Kerajaan adakan perbincangan dengan pelbagai pihak Jumaat ini
Bernama
Julai 18, 2023 08:45 MYT
Julai 18, 2023 08:45 MYT
KLANG: Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan bagi menilai undang-undang sedia ada serta memperhalusi keperluan untuk mewujudkan akta baharu berkaitan isu 3R (agama, raja dan kaum), Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perbincangan itu bertujuan menangani pihak tertentu yang sengaja mencetuskan provokasi melampau mengenai isu berkenaan.
Beliau berkata perbincangan itu akan melibatkan antaranya Majlis Peguam, badan profesional, agensi penguatkuasaan, Civil Society Organisasition (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan berlangsung di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.
"Dalam perbincangan ini kita akan mengkaji atau buat penilaian (pada) undang-undang sedia ada (antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948). Kita akan bincang sama ada ia dah mencukupi (berkaitan isu 3R) atau sebaliknya kerana ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut akta yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.
"Sebab banyak negara sekarang yang ada pelbagai kaum dan agama, (negara itu) guna pendekatan yang saya sebut tadi (akta khas) contohnya Indonesia dan Australia," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Townhall UMNO Bahagian Kota Raja "Apakah Peranan UMNO Dalam Kerajaan" di sini malam tadi.
Katanya, di negara luar perkara itu ditangani tidak hanya dengan memfokuskan kepada aspek jenayah tetapi turut memberi penekanan mengenai kaunseling dan pendidikan.
Sesi dialog awam itu turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
-- BERNAMA