Isu 3R boleh timbulkan mudarat jika dimanipulasikan - Ahli akademik

Bernama
Julai 9, 2023 00:11 MYT
Mohamad Fauzan berkata isu 3R lazimnya akan lebih hangat ditimbulkan apabila munculnya musim pilihan raya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Isu 3R yang menyentuh kaum, agama dan institusi diraja adalah perkara penting yang boleh menimbulkan mudarat sekiranya dimanipulasikan.
Pengarah Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) (Timur dan Asia Tenggara) Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin berkata isu 3R lazimnya akan lebih hangat ditimbulkan apabila munculnya musim pilihan raya.
"Kita nampak perkara ini bermusim, apabila datang Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datanglah isu agama dan Melayu. Kita nak bertanya balik di mana hak Melayu yang hilang? Di mana keistimewaan Melayu yang hilang? Di mana agama Islam itu tercabar dan tercalar?
"Dan bila timbul (isu) ini kita tahulah (ia) untuk mainkan sentimen. Bila terancam kita akan bermain emosi, sentimen dan kita akan mempertahankan bangsa dan agama kita. Jadi isu terancam ini popular dan amat senang diapi-apikan, dimain-mainkan kerana dia bermain dengan emosi," katanya kepada Bernama.
Tidak menolak bahawa modal bangsa dan agama senang dijual terutamanya ketika musim pilihan raya, Mohamad Fauzan turut mempersoalkan sama ada pihak yang lantang membangkitkan isu 3R tersebut benar-benar ikhlas memperjuangkannya.
"Mereka menggunakan isu sensitif ini kerana mereka hilang kuasa. Mereka pernah berkuasa, apakah yang mereka perjuangkan soal bangsa dan agama ini ketika mereka memerintah? Itu kita tanya semula rekod prestasi mereka, apa jasa mereka kepada pada agama dan bangsa yang boleh dibanggakan?
"Tapi bila hilang kuasa mereka gunakan isu yang sama, tapi bila mereka berkuasa mereka tidak memperjuangkan isu agama dan bangsa," katanya.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata isu 3R tidak menjadi masalah sekiranya tidak dimanipulasikan seperti pengumuman dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang mengikut Perlembagaan negara.
Namun begitu katanya yang menjadi masalah adalah apabila terdapat sesetengah pihak yang memanipulasikannya dalam bentuk negatif untuk menghentam pihak tertentu dan menakut-nakutkan masyarakat.
"Isu ini selalu digunakan oleh pemimpin politik dan juga dalam masa sama netizen. Sekarang ini media sosial juga banyak memainkan isu ini contohnya akan berlaku kristianisasi, isu komunis dan sebagainya. Jadi isu ini menakut-nakutkan rakyat. Jadi rakyat mengundi atas faktor itu, dia takut. Taktik takut ini dibuat-buat, itu yang kita tak nak," katanya.
Mohd Azizuddin berkata sekiranya isu tersebut dibangkitkan secara berterusan, dikhuatiri ia akan membawa kepada insiden yang tidak diingini seperti perbalahan kaum memandangkan Malaysia ini sebuah negara berbilang kaum dan agama.
"Tapi masih akan ada orang lagi yang akan salah guna isu ini untuk kepentingan politik. Jadi saya minta supaya isu ini tidak digunakan dan kalau ada yang didapati menggunakan isu ini untuk kepentingan tertentu, boleh buat laporan polis supaya diambil tindakan," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam pada program Temu Anwar Kedah di UUM mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi isu agama dan kaum yang boleh memecahbelahkan negara.
-- BERNAMA
#isu 3R #kepentingan politik #laporan polis #institusi diraja
;