Isu 3R: Alumni 4B gesa kerajaan bertindak tegas

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 19, 2023 00:20 MYT
Alumni 4B Malaysia mengadakan sidang media selepas Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh, semalam. - Foto Astro AWANI
IPOH: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas dalam isu 3R (agama, raja dan kaum), termasuk keperluan untuk mewujudkan akta baharu.
Alumni 4B Malaysia yang mempunyai 12 cawangan dengan lebih 81,000 ahli di seluruh negara, bimbang provokasi berterusan akan menjejaskan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Agungnya Datuk Jamaludin Abdul Rahim berkata, sejak kebelakangan ini, isu 3R dipermainkan oleh banyak pihak, termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Ia bukan memudaratkan individu tapi memudaratkan negara. Sebab, apabila pelabur-pelabur asing melihat negara kita kucar kacir, tak tenang, tak bagus, mereka tak melabur.
“Itu adalah semua fitnah. Fitnah yang menyebabkan orang-orang Melayu Islam misalnya, terpengaruh dengan keadaan ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis makan malam dan perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B di sini semalam, yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir, Presiden Alumni 4B Malaysia Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Baru-baru ini, media melaporkan, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan bagi menilai undang-undang sedia ada serta memperhalusi keperluan untuk mewujudkan akta baharu berkaitan isu 3R.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbincangan itu bertujuan menangani pihak tertentu yang sengaja mencetuskan provokasi melampau mengenai isu berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi amaran kepada pihak-pihak yang memainkan sentimen isu 3R sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.
Sementara itu, Syed Azmi Ahmad berkata, Mesyuarat Agung Alumni 4B tahun ini akan membincangkan resolusi bagi menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.
Menurutnya, adalah tidak adil meletakkan tanggungjawab kepada Ahmad Zahid semata-mata berikutan keputusan PRN enam buah negeri baru-baru ini.
Sebaliknya, kata beliau, semua kepimpinan dalam parti berkenaan, termasuk sayap-sayapnya harus sama bertanggungjawab.
#PRN #3R #Alumni 4B #Jamaludin Abdul Rahim