Isu 1MDB: Najib tarik balik saman terhadap Harakah, HarakahDaily
Bernama
Jun 1, 2018 11:58 MYT
Jun 1, 2018 11:58 MYT
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkannya terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung dakwaan menyalahgunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham, yang mewakili Najib memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas bertemu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Wan Rohimi Wan Daud mewakili Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob, dan Ketua Editor Harakahdaily, Taufek Yahya selaku defendan.
Nor Emelia berkata anak guamnya menarik balik saman terhadap kedua-dua defendan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu.
Bagaimanapun, terma berhubung penarikan balik saman itu tidak didedahkan kepada pemberita. Saman itu kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah.
Pada 18 Mac 2015, Najib memfailkan saman terhadap Rosli dan Taufek kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnahnya berhubung isu 1MDB yang ditulis oleh Rosli pada 19 Feb 2015.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang mendakwa artikel itu menggambarkan yang beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu berniat untuk mencemarkan reputasi beliau.
Beliau juga mendakwa bahawa Taufek telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel ditulis Rosli adalah betul sebelum menerbitkannya.
Najib berkata kedua-dua defendan sengaja menerbitkan artikel itu dengan agenda peribadi untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap beliau.
Ini adalah kali ketiga Najib bertindak untuk tidak meneruskan samannya, selepas beliau menarik balik samannya, masing-masing terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik pada 22 Mei serta Anggota Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong pada 28 Mei berhubung isu sama iaitu 1MDB. -- Bernama