Isu 1MDB dominasi persidangan Dewan Rakyat minggu ini

Bernama
November 7, 2015 08:33 MYT
Jangkaan terhadap debat 1MDB mendapat reaksi positif daripada anggota Parlimen kedua-dua pihak.
Isu debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara langsung antara anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Presiden serta Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, mendominasi persidangan Dewan Rakyat minggu ini.
Jangkaan terhadap debat itu mendapat reaksi positif daripada anggota Parlimen kedua-dua pihak, dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersetuju supaya debat itu diadakan secepat mungkin dan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bagaimanapun, isu itu mendapat reaksi sebaliknya daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang membuat keputusan bahawa ia tidak boleh diadakan bagi mengekalkan ketelusan siasatan dan prosiding yang dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB selaras dengan peraturan-peraturan Dewan Rakyat.
Beliau berkata penglibatan Pua dalam debat itu, yang juga anggota PAC sebelum laporan akhir penyiasatan dibentangkan di Dewan Rakyat, akan menjejaskan integriti Parlimen, selain Arul Kanda yang juga merupakan saksi utama dalam siasatan itu.
Mengumumkan keputusannya sejurus selepas sesi soal jawab selesai pada persidangan Selasa lepas, Pandikar Amin meletakkan syarat sekiranya debat itu diteruskan, Pua harus meletak jawatan sebagai anggota PAC ataupun tidak terlibat sama sekali dalam penyiasatan PAC terhadap 1MDB.
Beliau berpendirian bahawa debat berkenaan boleh diadakan selepas PAC mengemukakan penyata akhir siasatan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat akhir tahun ini.
Pua akhirnya akur dengan keputusan Speaker untuk tidak meneruskan perdebatan, namun, ia masih gagal meletakkan titik noktah pada isu itu apabila Pakatan Harapan masih mahu meneruskan debat dan menggantikan Pua dengan anggota parti itu yang lain.
Mereka menamakan anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha PKR untuk menggantikan Pua, yang merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.
Arul Kanda yang turut akur dengan keputusan Pandikar Amin itu berkata beliau hanya boleh mengambil bahagian dalam sebarang debat mengenai 1MDB selepas pendengaran PAC.
Sementara itu, persidangan Dewan Rakyat minggu ini juga melihat sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 oleh kementerian-kementerian bermula Rabu lepas, selepas ia dibahaskan selama enam hari sejak 26 Okt.
Rang undang-undang itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt lepas.
Semasa giliran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggulung rang undang-undang itu pada Khamis lepas, menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed mendapat perhatian ramai apabila mengumumkan bahawa kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang dinanti ramai pihak, dikeluarkan untuk rujukan umum pada petang itu.
Beliau berkata langkah itu akan memberi ruang kepada anggota-anggota Parlimen untuk membincang dan membahaskan serta membuat keputusan mengenai perjanjian itu di Parlimen.
Mustapa berkata TPPA akan dibentangkan pada persidangan khas Dewan Rakyat awal tahun depan, sama ada Januari atau Februari.
Setakat Khamis lepas, 17 kementerian telah menggulung perbahasan bagi kementerian masing-masing dan lapan lagi kementerian dijadualkan akan menggulung perbahasan pada 16 Nov setelah persidangan berehat minggu depan kerana sambutan perayaan Deepavali.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada 3 Dis.
#1MDB #Arul Kanda Kandasamy #debat #Dewan Rakyat #Tony Pua