Isu 1MDB: Arul kat mana? Arul, Arul kat mana? - Khairuddin
Wan Syamsul Amly
Februari 16, 2015 17:52 MYT
Februari 16, 2015 17:52 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda disifatkan cuba memperbodohkan rakyat dengan bersikap diam diri serta mengambil langkah tidak menjawab sebarang persoalan mengenai syarikat pelaburan negara itu.
Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, selain mengelirukan masyarakat, kemasukan Arul di jawatan itu juga dilihat sia-sia dengan kenyataannya selama ini yang tidak memberi sebarang faedah kepada negara.
"Apakah Arul dibawa pulang menerajui 1MDB semata-mata hanya untuk membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat mengenai isu ini?
"Kenapakah kita harus membuang masa untuk berjumpa dengan Arul untuk mendapatkan penjelasan? Dia sendiri entah di mana dan hanya memutarbelitkan fakta serta bukan menjawab persoalan yang ditimbulkan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini
Sebelum ini, Khairuddin meminta 1MDB menjelaskan secara terperinci dari sumber manakah mereka menggunakan wang RM2 bilion untuk membayar hutang bank tempatan sekali gus lebih awal daripada tarikh akhir mengikut syarat perjanjian.
Tegasnya, rakyat negara kini benar-benar mahu tahu 'asal usul' wang itu dan apa kedudukan sebenar syarikat yang mencetus kontroversi negara ini.
Khairuddin turut mempersoalkan adakah 1MDB menggunakan sebahagian daripada wang yang telah ditebus dari akaun pelaburan di Kepulauan Cayman ataupun adakah 1MDB meminjam dari mana-mana sumber kewangan yang lain untuk membayar hutang berkenaan.
Ujarnya, rakyat mahu tahu mengapa kini 1MDB harus berhutang untuk membayar hutang.
"Di manakah duit-duit 1MDB berada sekarang? Arul kata kedudukan kewangan dan prestasi 1MDB amat teguh tetapi malangnya mereka terpaksa berhutang untuk membayar sejumlah RM2 bilion hutang.
"Ini maknanya serta signifikannya Arul kini cuba menegakkan benang yang basah," tegasnya.
Dalam pada itu Khairuddin menjelaskan, isu 1MDB sebnarnya tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dgn UMNO atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Walaupun Najib adalah pengerusi penasihat lembaga 1MDB tetapi ia ditadbir oleh kumpulan pentadbir eksekutif serta lembaga pengarahnya secara harian," jelasnya.
Khairuddin juga ingin tahu di manakah kedudukan wang yg telah ditebus secara sepenuhnya dari pelaburan di Kepulauan Cayman.
"Presiden 1MDB serta keseluruhan lembaga pengarah 1MDB gagal menjawab kepada rakyat mengenai persoalan ini.
"Ini bukan jumlah wang yang kecil tetapi jumlah RM 8.3 bilion merupakan satu jumlah yg amat besar yang boleh meninggalkan kesan yang amat buruk kepada sistem ekonomi negara.
"Arul jangan terlalu banyak membuat kenyataan untuk memutar belitkan fakta. Arul kena berani bercakap fakta yang hakikat seterusnya memperbetulkan segala kelemahan yangg sedang melanda 1MDB," jelasnya.
Katanya, Arul juga mesti bertindak secara jujur untuk mengambil satu pendekatan proaktif bagi menyelesaikan kemelut 1MDB.
"Saya ingin cabar Arul untuk menyatakan secara jelas dan senaraikan semua hutang piutang 1MDB baik di dalam mahupun luar negara.
"1MDB harus perincikan senarai ini untuk tatapan rakyat. Begitu juga dengan menyenaraikan keseluruhan aset 1MDB agar rakyat lebih jelas dan faham akan kedudukan 1MDB sekarang.
"Arul juga mesti menjelaskan tentang kedudukan serta 'employment' di dalam 1MDB. Adakah arul kanda dilantik dan digajikan oleh 1MDB ataupun adakah Arul hanya bersama 1MDB utk menjaga kepentingan syarikat kewangan yang berkenaan.
"1MDB bukan syarikat swasta tetapi 100 peratus milik Kementerian Kewangan. Ini bermakna keseluruhan rakyat berhak untuk bertanya mengenai kedudukan sebenar 1MDB," katanya.
Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis dan meminta siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.
Tindakan Khairuddin turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat 1MDB berkaitan pelaburan sebanyak RM8.3 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman.
Dr Mahathir berkata penjelasan yang diberikan oleh 1MDB bahawa pelaburan tersebut telah diperolehi semula tidak memberi apa-apa pencerahan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi jaminan akanbertindak secara telusdan profesional dalam isu melibatkan 1MDB selaras dengan Akta SPRM 2009.