Isu 1MDB akan selesai dalam masa 2 bulan lagi

Bernama
Oktober 15, 2015 00:01 MYT
ABDUL WAHID: Ini menunjukkan kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB, yang turut mencerminkan minat pelabur antarabangsa dan domestik yang kukuh dalam Edra Energy dan Bandar Malaysia. - Gambar Fail
Isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diselesaikan sebelum akhir tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memberi kenyataan bahawa isu 1MDB akan diselesaikan dalam masa enam bulan bermakna sebelum hujung tahun ini," katanya.
Ia diberi penekanan lagi apabila kerajaan mengambil langkah proaktif antaranya menjual aset 1MDB dan menggunakan hasilnya untuk membayar dan mengurangkan hutang.
"Proses ini akan dijalankan secara mesra pasaran dan telus," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik, 'Ekonomi Negara' malam tadi.
Baru-baru ini, 1MDB mengumumkan bahawa paras hutangnya akan dikurangkan kepada kira-kira RM16 bilion daripada paras hutang syarikat.
Ini menunjukkan kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB, yang turut mencerminkan minat pelabur antarabangsa dan domestik yang kukuh dalam Edra Energy dan Bandar Malaysia.
#1Malaysia Development Berhad #Abdul Wahid Omar #Edra Energy #ekonomi negara #Najib Razak