Istilah 'banjir 100 tahun' perlu dikaji semula - Pakar Hidrologi

Rahimah Abdullah
Jun 2, 2022 15:29 MYT
Profesor Datuk Mohd Ekhwan Toriman mencadangkan agar istilah banjir 100 tahun yang lazimnya digunakan di negara ini dikaji semula. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR : Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Mohd Ekhwan Toriman mencadangkan agar istilah 'banjir 100 tahun' yang lazimnya digunakan di negara ini dikaji semula.
Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir itu berkata, kajian perlu menjurus kepada statistik yang digunakan iaitu sama ada ia benar-benar menggambarkan banjir yang luar biasa atau ia sekadar istilah.
"Jadi saya rasa istilah 'banjir 100 tahun' itu boleh dikaji semula dari segi statistik, iaitu sama ada banjir 100 tahun itu boleh menggambarkan kejadian luar biasa atau ia adalah banjir berulang yang lebih daripada tempoh 100 tahun? Itu salah satunya.
"Saya rasa saya cuba nak kaitkan (ini) dengan banjir luar biasa. Kita kena faham banyak faktor - perubahan guna tanah, air pasang, perparitan kita yang hanya boleh tampung 50 tahun, faktor inilah menyebabkan kenapa magnitud banjir besar. Saya jangka kalau kita tidak tanganinya, kesan akan jadi lebih besar kepada masyarakat," katanya semasa forum Bencana Banjir – Perspektif Pengurusan Sungai, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim di Malaysia anjuran UKM secara dalam talian pada Khamis.
Mengulas mengenai pengurusan banjir di Malaysia, katanya, negara perlu berdiri sama tinggi dengan negara maju dalam penghayatan pembangunan mampan dan pengurusan alam sekitar.
Beliau mengakui penambahbaikan dalam sistem pendidikan perlu dilakukan dalam konteks pendidikan alam sekitar.
"Revolusi pemikiran alam sekitar ini penting dan sebenarnya salah satu daripadanya ialah pembinaan modal insan. Pendidikan alam sekitar merentas kurikulum terus dilakukan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, kerajaan sedang melakukan kajian terhadap pelaksanaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) di lokasi pertanian selain di kawasan perumahan.
Dalam masa sama, pihaknya akan memastikan MSMA dijadikan sebagai satu kemestian dalam perancangan sesebuah projek pembangunan dan bukannya satu pilihan.
"Semalam saya dapati banyak pembangunan di bukit, sekarang jadi kawasan perumahan, ada yang sampai rumah 30 tingkat. Sekarang ini, kementerian sediakan konsep hibrid. MSMA perlu dan mesti dilaksanakan dan bukan pilihan, ini yang kita rancang," ujarnya.
Selain itu katanya, rang undang-undang Adaptasi Perubahan Iklim yang akan dirangka dan digubal akan dapat memastikan pelaksanaan MSMA dilaksanakan melalui rangka kerja regulatori.
"MSMA tidak ada rangka kerja regulatori wajib dilaksanakan. Namun, kita sedang ke arah proses itu dan kita sedang dalam proses rangka, gubal rang undang-undang Adaptasi Perubahan Iklim.
"Kajian sedang dibuat supaya ia (MSMA) bukan sahaja (dilaksanakan) di perumahan, tetapi juga pertanian, seperti penanaman Musang King di hutan misalnya," ujar Zaini.
#banjir #100 tahun #Malaysia #Mohd Ekhwan Toriman
;