Istiadat Pertabalan YDP Agong pada 20 Julai, sambutan Hari Keputeraan pada September

Irfan Faruqi
Mei 16, 2024 17:06 MYT
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan dilangsungkan pada 20 Julai akan datang di Istana Negara. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan dilangsungkan pada 20 Julai akan datang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata beberapa acara bersempena istiadat berkenaan juga telah dirancang dan pada masa yang sama memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan menangguhkan sambutan ulang tahun keputeraan baginda pada 3 Jun akan datang ke bulan September.
"Sebagaimana yang kita maklum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu, 31 Januari 2024.
"Sehubungan dengan itu, Kerajaan dengan titah perkenan Yang Di-Pertuan Agong ke-17 akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan seperti berikut:
"Pertama, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada hari Khamis, 18 Julai 2024, 5.30 petang bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
"Kedua, Khutbah Khas dan Solat Jumaat pada hari Jumaat, 19 Julai 2024, 1.15 tengah hari bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
"Ketiga, Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Sabtu, 20 Julai 2024, 10.00 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur.
"Keempat, Majlis Santapan Diraja pada hari Sabtu, 20 Julai 2024, 8.30 malam bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII pada Khamis.
Tambah Fahmi, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadualkan melawat Hospital Orang Asli Gombak pada hari Selasa, 23 Julai 2024, jam 9.30 pagi.
Seterusnya, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada hari 25 Julai 2024 bermula 11.00 pagi.
Fahmi turut memaklumkan Majlis Jamuan Teh Diraja akan berlangsung pada hari Sabtu, 27 Julai 2024, jam 3.00 petang bertempat di Istana Negara Kuala Lumpur.
"Kita sedang menyelaras sejumlah aktiviti termasuk perbincangan dengan pihak media mengenai kandungan yang boleh kita sediakan sepanjang minggu-minggu menuju ke hari pertabalan.
"Kita sedia maklum Istiadat Pertabalan ini merupakan istiadat yang penuh simbolik dan tidak selalu kita dapat saksikan. Maka ini peluang yang baik untuk rakyat Malaysia memahami lebih mendalam dan memupuk rasa cinta terhadap institusi Diraja dan bagaimana ia diamalkan di Malaysia di bawah konsep Raja Berperlembagaan," tambahnya.
#Fahmi Fadzil #Istana Negara #Yang di-Pertuan Agong #Raja Permaisuri Agong #istiadat pertabalan
;