Istiadat Pertabalan Agong ke-16 mempunyai signifikan tersendiri

Bernama
Julai 19, 2019 11:49 MYT
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut melibatkan diri secara aktif dalam menyuntik idea dan memperincikan persiapan Istiadat Pertabalan. - Gambar Istana Negara
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini mempunyai signifikan tersendiri bukan sahaja bagi Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, Istana Negara komited dan berazam menjadikan istiadat kali ini suatu acara mengabadikan detik-detik indah yang akan dikenang Seri Paduka berdua sampai bila-bila.
Katanya, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mempunyai pengalaman berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan kedua-dua ayahanda dan ayahanda mentua iaitu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Lantaran itu, katanya, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mempunyai harapan dan impian tersendiri pada istiadat gilang gemilang mengikut warisan Kesultanan Melayu, di samping mahu mengembalikan nostalgia istiadat pertabalan paduka ayahanda Seri Paduka berdua.
"Kami di pihak Istana Negara berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi hasrat dan impian Tuanku kerana saya pun tahu Tuanku melakukan perkara ini bukan untuk baginda tetapi adalah untuk negara supaya Malaysia dipandang sebagai negara bermaruah dan penuh dengan adat istiadat," katanya kepada Bernama.
Antara permintaan Seri Paduka ialah supaya pihak Istana Negara mendapatkan semula takhta singgahsana tempat bersemayam kedua-dua paduka ayahanda ketika ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan.
"Dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan pihak Muzium Negara, kita dapatkan semua singgahsana yang pernah menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, dan kita dapatkan sekali bingkisan sejarahnya seperti siapa yang bersemayam di situ, bila digunakan dan di mana.
"Jadi apabila kita membuat retrospeksi dan membuat kajian, kita akhirnya jumpa singgahsana tempat bersemayam Almarhum Paduka Ayahanda Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong semasa ditabalkan, dan kita sedang membuat pembaikan (ke atas singgahsana tersebut)," katanya.
Selain itu, Azuan Effendy berkata, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut melibatkan diri secara aktif dalam menyuntik idea dan memperincikan persiapan Istiadat Pertabalan.
Beliau berkata, banyak perkara seperti rekaan kad jemputan, cenderahati dan buku program selain pemilihan pakaian seperti songket dan tengkolok pegawai istiadat ditentukan oleh Seri Paduka berdua secara terperinci.
"Ini menggambarkan bagaimana seriusnya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk sama-sama memastikan bahawa Istiadat Pertabalan kali ini menjadi satu Istiadat Pertabalan yang akan dikenang sampai bila-bila," katanya.
Azuan Effendy berkata, walaupun beliau menggalas tugas penting memimpin Istiadat Pertabalan yang akan menjadi tumpuan masyarakat di kaca televisyen, tanggungjawab petugas lain seperti penyelia makanan dan penyedia logistik jauh lebih berat dan mencabar.
Katanya, persiapan Istiadat Pertabalan adalah satu kerja berpasukan melibatkan ribuan petugas yang bertungkus-lumus memastikan majlis tersebut berjaya.
"Cuma apabila semakin hari semakin dekat (dengan Hari Pertabalan) maka kita rasa semakin tertekan kerana sebenarnya banyak perkara yang kecil-kecil yang terlepas pandang, jadi kita rasa seperti tidak cukup masa. Tapi macam mana pun kita kena pastikan ia dapat diatasi dan dipastikan berjalan dengan lancar," katanya.
Ini adalah kali kedua beliau memimpin istiadat selepas kali pertama menggalas tanggungjawab itu semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, selain berpengalaman terlibat dalam persiapan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V. - BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah #Istana Negara #Istiadat Pertabalan Agong ke-16 #Raja Permaisuri Agong #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Yang di-Pertuan Agong
;