Istiadat pengurniaan pingat Wilayah Persekutuan yang terakhir disempurnakan Agong

Bernama
Februari 1, 2023 11:33 MYT
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin (dua, kiri) dan Tunku Hajah Azizah Aminah (dua, kanan) berkenan beramah mesra bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) di Istana Negara hari ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan kali ini, adalah yang terakhir disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 mulai 31 Jan 2019.
"Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada pagi ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta sempurnakan sebagai Yang di-Pertuan Agong," titah baginda pada istiadat itu di Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah yang merupakan Sultan Pahang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tarikh berkenaan, setelah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Jan 2019 bagi tempoh lima tahun.
Sempena istiadat pada hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah, kenangan bersemayam di kota metropolitan ini akan kekal abadi dalam sanubari Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
"Beta dan Raja Permaisuri Agong merasa sangat bertuah dan sukacita dengan keramahan serta budi pekerti warga kota metropolitan ini yang telah sudi menerima kedatangan beta berdua. Pepatah Melayu lama ada berkata 'tidak kenal maka tidak cinta'.
"Menerusi keberangkatan beta berdua ke seluruh pelosok kota raya, pusat-pusat beli-belah, masjid dan surau, kedai dan pasar, serta ketika menjamu selera di restoran dan gerai, beta berdua merasa sangat teruja dapat mengenali rakyat beta daripada pelbagai bangsa dan agama yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman, tidak lokek untuk bermesra dan tidak segan untuk berbual bicara," titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong seterusnya bertitah nilai murni peradaban, toleransi dan kemesraan merentasi batas sempadan kemajmukan dan kepelbagaian masih lagi kukuh meskipun di sebalik kesibukan warga kota dengan urusan seharian.
Justeru, Seri Paduka bertitah supaya rakyat menjadikan nilai murni itu sebagai asas dan kekuatan untuk membentuk Malaysia sebagai negara yang maju dan disegani.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya rakyat menghentikan segala pertikaian, jauhi perbalahan serta hindari permusuhan kerana perpaduan ialah kunci kepada masa depan negara yang gemilang.
"Sesungguhnya, menerusi agenda perpaduan, maka akan lahirlah sifat toleransi dan rasa kecintaan kepada negara, lantas menjadi resipi kepada keamanan serta kemakmuran negara," titah Al-Sultan Abdullah.
- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Raja Permaisuri Agong #istiadat pengurniaan pingat #Wilayah Persekutuan
;