Istiadat Meletak Kerja diisytihar sempena Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Pahang

Khalis Khadir
Oktober 22, 2024 23:57 MYT
Istiadat perkahwinan Putera Diraja Pahang bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada Selasa. - Gambar FB Kesultanan Pahang
KUALA LUMPUR: Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada Selasa.
Dalam istiadat di pekarangan Istana Abdulaziz, Kuantan, Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja.
Serentak dengan itu, sebanyak 16 das tembakan meriam dilepaskan.
Selesai membaca watikah, Tengku Amir menyempurnakan upacara menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.
Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Datuk Asmadi Mohamed Naim bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.
Turut mengiringi Tengku Amir ialah Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mu’adzam Shah.
Menerusi kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang, Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz jam 8 malam.
Ia akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat ini manakala Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad.
#Facebook #pengantin diraja #Istiadat Berinai #tembakan meriam
;