Istiadat keberangkatan balik yang tidak dapat dilupakan - Agong

Bernama
Januari 30, 2024 17:16 MYT
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama RAMD pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Dataran Parlimen, hari ini. -Bernama
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka ke Pahang selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 hari ini sebagai peristiwa yang tidak dapat dilupakan.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat memastikan kelancaran istiadat perjalanan itu, yang jelas menyentuh hati serta perasaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.
"Sambutan keberangkatan pulang bagi saya hari ini cukup 'memorable' dari Istana Negara ke Parlimen seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pelbagai petunjukan kebudayaan.
"...dan saya tiba di Kuantan dengan perasaan cukup terharu. Macam tidak percaya ini hari terakhir saya sebagai Yang di-Pertuan Agong," titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Tengah Hari Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong dan paduka-paduka anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir ialah pemimpin kerajaan negeri diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dalam istiadat itu.
Semasa bertitah, Al-Sultan Abdullah juga mencuit hati hadirin apabila secara spontan berseloroh menyifatkan sambutan terhadap Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini membuat Seri Paduka mengimbau kenangan hari perkahwinan dengan Tunku Azizah pada 1986.
"Saya pun rasa seperti pengantin," titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka seterusnya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan negeri yang terlibat menyusun upacara hari ini, dan menyifatkan jasa semua pihak terlibat hanya Allah yang dapat membalas.
Berkongsi perasaan melangkah meninggalkan Istana Negara yang menjadi singgahsana Seri Paduka bersemayam sejak 31 Jan 2019 pada pagi tadi, Seri Paduka bertitah ia amat sayu dan banyak air mata yang menitis.
Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan supaya rakyat Pahang berbangga dengan pencapaian Sultan mereka yang telah melunaskan tanggungjawab terbaik untuk negara dan rakyat sejak menggalas amanah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Mungkin sebilangan kecil tidak bersetuju dengan beberapa perkara keputusan saya buat, (namun) majoritinya adalah bersama (dengan) keputusan (yang) saya buat.
"Alhamdulillah rakyat Pahang masih rindu pada saya. Saya tidak pernah meninggalkan Pahang. Nadi dan jiwa sentiasa di sini, badan sahaja di sana (Istana Negara)," titah Seri Paduka.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #peristiwa yang tidak dapat dilupakan #Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka ke Pahang #Raja Permaisuri Agong
;