Istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sabah hari ini?

Hasimi Muhamad
September 28, 2020 09:18 MYT
Keadaan di perkarangan Istana Negeri Sabah setakat pagi ini. Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Hari kedua selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai, Istana Negeri Sabah di sini terus menjadi tumpuan para pengamal media bagi mengikut rapat perkembangan Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Tinjauan Astro AWANI setakat pukul 9 pagi ini, tiada sebarang indikasi jelas akan kehadiran mana-mana pemimpin politik atau penyokong parti di perkarangan Istana Negeri.
Keadaan cuaca yang sedikit redup ketika ini seperti memahami keluh kesah rakyat yang mahukan ‘polemik Ketua Menteri Sabah’ segera diselesaikan.
Namun, sama ada Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu akan diadakan hari ini atau sebaliknya, masih belum dapat disahkan.
Semalam, beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rombongan termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Hajiji Noor; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Jahid Jahim tiba di Istana Negeri untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Ikuti kami untuk LAPOR LANGSUNG berhubung perkembangan pilihan raya negeri Sabah
PRN kali ini menyaksikan GRS memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Daripada jumlah tersebut, Perikatan Nasional (PN) sebanyak 17 kerusi; Barisan Nasional (BN) (14); serta Parti Bersatu Sabah (PBS) (tujuh), sekali gus memberi majoriti mudah untuk gabungan tersebut membentuk kerajaan baharu.
Sementara, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan UPKO (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi.
Astro AWANI akan teruskan bawakan perkembangan terkini di semua platform digital dan laman sosial rasmi.

Beberapa pengamal media dan pihak polis sudah berada di kawasan perkarangan Istana Negeri. Masih lagi tenang, dan tiada kumpulan penyokong mana-mana parti hadir @501Awani #SabahMemilih #HapusCOVID19 pic.twitter.com/3kDzu66oW8

— Hasimi Muhamad (@HasimiM) September 28, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#angkat sumpah #Istana Negeri #Sabah #Sabah Memilih #PRN Sabah #Ketua Menteri #pemimpin #GRS #Warisan #Warisan Plus #Perikatan Nasional #Juhar Mahiruddin #TYT #Yang Dipertua Negeri #kerusi DUN #Dewan Undangan Negeri #DUN Sabah
;