Isteri Wan Saiful Wan Jan meninggal dunia

Astro Awani
Julai 22, 2024 08:42 MYT
Allahyarham Alena (kiri) dilapor meninggal dunia pada jam 2.40 petang hari ini. - Foto Facebook Alena Omar
KUALA LUMPUR: Isteri Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan iaitu Datin Alena Omar meninggal dunia hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd Sobri Salleh, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.40 petang tadi.
"Sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Wan Saiful," katanya dalam kemas kini di laman Facebook hari ini.
Sementara itu, berita pemergian Allahyarham turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Salam takziah buat sahabat seperjuangan kami Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Datin Alena Omar sebentar tadi.
"Saya mendoakan semoga roh Allahyarham tenang dan ditempatkan bersama-sama dengan golongan orang-orang yang beriman," tulis beliau.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disempurnakan di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya dan disolatkan di Masjid Kariah Sungai Sekamat, Batu 12, Kajang pada jam 5.15 petang ini.
Urusan pengebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Jalan Sungai Sekamat.
Sebelum ini, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan isterinya menghidap kanser usus tahap empat.
Menurut Wan Saiful dalam satu video pada 4 Jun lalu, keadaan isterinya ketika itu pada tahap kritikal kerana kanser telah merebak ke beberapa organ yang lain.
Jelas beliau isterinya sudah lama menghidap kanser usus dan menjalani rawatan kimoterapi sejak tahun 2020.
#Isteri Wan Saiful meninggal dunia #Datin Alena Omar meninggal dunia #Isteri Wan Saiful hidap kanser