Isteri terkejut, suami pulang menoreh cedera kena tembakan
Bernama
Mac 13, 2019 21:10 MYT
Mac 13, 2019 21:10 MYT
Seorang penoreh getah cedera di bahagian muka, mata, badan, dada dan kaki selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang sedang mencari madu lebah di Bukit Kechik di sini, semalam.
Mangsa Zulkiflie Awang Hamat, 62, bagaimanapun stabil dan dalam keadaan separuh sedar dan kini dirawat di wad Hospital Tanah Merah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa dikatakan keluar menoreh bersama isterinya berasingan dengan motosikal masing-masing.
Ketika sampai di kawasan kebun getah mangsa dan isteri melakukan pekerjaan menoreh dalam jarak 500 meter.
Isteri mangsa ada terdengar bunyi letupan kuat dari jarak terbabit dan didatangi jirannya yang menyuruh dia pulang ke rumah segera.
Ekoran itu, isteri mangsa segera pulang dan apabila sampai di rumah, dia terkejut melihat suaminya mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.
Mangsa dibantu pencari madu lebah itu dan kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, dipercayai pemburu itu yang sedang mencari madu lebah, melepaskan tembakan ke arah seekor ular tedung yang kebetulan lalu di hadapannya.
Namun dia tidak menyangka tembakan itu terkena mangsa yang berada dalam jarak 70 meter dari kawasan itu.
"Lelaki itu turut membantu mangsa terbabit dan telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah (IPD) dan serah diri serta turut membawa senapang automatik jenis Bore, tujuh butir peluru hidup dan lesen senjata api.
Kita siasat kes ini di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (melepaskan tembakan bukan di suatu tempat yang dibenarkan) dan Seksyen 338 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera parah dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain)," katanya.
-- BERNAMA
#Bukit Kechik
#penoreh getah
#penoreh getah peluru sesat
#Seksyen 338 Kanun Keseksaan
#Seksyen 39 Akta Senjata 1960
#senapang automatik jenis Bore
#terkena peluru sesat