Isteri Syafiq stabil selepas jalani pembedahan di HSJ, tangguh ke hospital swasta
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 7, 2020 16:34 MYT
Disember 7, 2020 16:34 MYT
SEBERANG JAYA: Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, yang cedera dalam kemalangan jalan raya di KM 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara semalam selamat menjalani pembedahan di bahagian perut di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim, berkata, keadaan menantunya Nur Amalina Norain, 25, stabil namun pihaknya masih menunggu keputusan dari pakar-pakar yang lain berhubung keadaan kesihatannya.
Menurutnya, Nur Amalina dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke HSJ selepas dia mengadu sakit di bahagian perut dan belakang anggota badannya akibat kemalangan berkenaan.
Ahmad berkata, Muhammad Syafiq mahu memindahkan isterinya, dan anak sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya, 2, ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan seketika kerana Nur Amalina perlu menjalani pembedahan terlebih dahulu.
“Doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati di dalam perut menantu saya ada sedikit masalah dan memerlukan pembedahan segera.
"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan ahli keluarga kini sedang menunggu keputusan dari pakar-pakar lain berhubung keadaan kesihatan terkini Nur Amalina manakala anak sulung mereka sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan terkini Muhammad Syafiq pula, Ahmad memberitahu, anaknya itu kini mula berkomunikasi seperti biasa selepas kelihatan agak murung dan tidak bermaya sejak semalam.
"Dia nampak bersemangat apabila memberitahu sudah bergerak dari Pendang, Kedah untuk melawat isteri dan anaknya di HSJ.
“Syafiq ada memberitahu isteri dan anaknya berada dalam keadaan baik, dan setakat ini hanya dia sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam wad," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dalam kejadian jam 4 pagi Ahad, tiga termasuk bayi 22 hari maut, manakala tiga lagi cedera selepas Toyoya Vellfire dipandu Muhammad Syafiq terbabas di kilometer 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Aisy Saqeef 22 hari, ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Muhammad Syafiq dan anak perempuannya berusia 2 tahun Aaira Nur Saffiyya hanya cedera ringan, manakala isteri yang sedang berpantang, Nur Amalina Norain, 25, mengalami kecederaan patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang paha kiri dirawat di Hospital Seberang Jaya.
#nur amalina norain
#Muhammad Syafiq Ahmad
#pemain JDT
#kemalangan
#Pembedahan
#Hospital
#Ahmad Ibrahim