Isteri Syafiq dipindahkan ke HKL hari ini
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 9, 2020 12:56 MYT
Disember 9, 2020 12:56 MYT
GEORGE TOWN: Isteri kepada pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang sedang menjalani rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim berkata, keadaan menantunya Nur Amalina Norain, 25, kini stabil namun dipindahkan ke HKL sekitar pukul 6.45 pagi tadi untuk rawatan pakar berkaitan saraf di sana.
Ahmad berkata, setakat hari ini, keadaan kesihatan menantunya baik namun, hasil perbincangan doktor pakar di HKL dengan pakar di HSJ mereka memutuskan untuk dia dipindahkan bagi membolehkan pakar-pakar di Kuala Lumpur memantau keadaannya.
Ahmad berkata, dia sekeluarga bersama Muhammad Syafiq serta cucunya Aaira Nur Saffiyya, 2, turut berada di ibu negara bagi menemani Nur Amalina sehingga dia sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.
"Setakat hari ini, tumpuan kami sekeluarga adalah kesihatan Nur Amalina, kami mahu dia segera sembuh, kami juga sentiasa memberi kata kata semangat kepadanya.
"Meskipun emosi menantunya bertambah baik, namun mereka sekeluarga seboleh mungkin tidak bercakap mengenai kejadian yang menimpa buat masa ini kerana mahu dia pulih dari segi emosi dan fizikal terlebih dahulu" katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad berkata, Aaira Nur Saffiyya juga sudah dibenarkan keluar dari HSJ Isnin lepas dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.
Malah keadaan Muhammad Syafiq juga semakin baik dan dia juga sudah hadir memberi kenyataan dan membuat laporan polis berhubung kejadian kemalangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Jawi, Nibong Tebal pada Selasa.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, mereka sekeluarga terkilan dengan laporan yang mendakwa anaknya terlelap ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas.
Isnin lalu, Nur Amalina selamat menjalani pembedahan di bahagian perut di HSJ selepas mengadu kesakitan di bahagian itu dan belakang badannya selepas dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB).
Dalam kejadian pukul 4 pagi Ahad lalu, kenderaan Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq dilaporkan hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di lebuh raya PLUS dekat Sungai Bakap sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter.
Akibat kejadian itu, Muhammad Syafiq kehilangan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah mereka iaitu wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki oleh enam orang dengan dipandu penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah.
#Muhammad Syafiq Ahmad
#nur amalina norain
#pemain JDT
#pemain bola sepak
#kemalangan
#Hospital Seberang Jaya
#Hospital Kuala Luimpur