Isteri sarat mengandung pernah tinggal atas pokok kerana miskin

Astro Awani
Januari 6, 2018 11:31 MYT
Pasangan muda ini kini tinggal di tengah sawah selepas dibuang ahli keluarga dan kemiskinan. - Gambar Astro AWANI
Hidup dalam serba kedaifan dan kesusahan tidak pernah dijadikan penghalang untuk pasangan muda ini terus bertahan mengukuhkan rumah tangga mereka.
Hidup sebatang kara, dibuang keluarga kerana miskin merupakan nasib yang terpaksa dihadapi bagi Mohamad Amir Hamid, 22 tahun dan isterinya, Nor Zalila Zainol, 21 tahun selain anak kecil mereka berusia lima bulan.
Pasangan itu hanya mempunyai adik beradik memandangkan kedua-dua ibu bapa mereka telah meninggal dunia.
Malah ketika sarat mengandung, Mohamad Amir dan Nor Zalila pernah menjadikan sebatang pokok sebagai tempat untuk berteduh selama hampir setahun.
Ujar Mohamad Amir, dia dan isteri terpaksa membina 'istana' istimewa mereka di atas pokok terbabit sebelum pokok itu ditebang.
Menurutnya, pasangan itu kemudian berpindah ke sebuah rumah sebelum dihalau kerana gagal membayar sewa selama empat bulan.
"Sekarang saya tinggal di pondok usang ini di tengah bendang sawah atas tanah rizab milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kira-kira lima kilomter dari jalan ke Kampung Gelam Dua, Yan di sini.
"Setiap malam saya dan isteri akan tidur secara bergilir-gilir memandangkan pondok usang ini sering 'dikunjungi' nyamuk selain terpaksa tidur dalam keadaan mengerekot kerana sempit," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Menceritakan lebih lanjut, Nor Zalila juadah makan tengah hari atau makan malam mereka bukan romantik seperti pasangan lain sebaliknya terpaksa berkongsi mi segera.
Tambahnya, kadang kala, dia sengaja memasak mi segera itu dalam tempoh lama bagi membolehkan mi segera itu kembang selain nampak banyak.
"Sedih juga dengan nasib macam ini tetapi saya tidak pernah membiarkan suami membanting tulang sendirian sebaliknya membantu mengambil upah menanam padi.
"Ketika berpantang saya sudah mula membantu suami dengan meninggalkan bayi sendirian di pondok ini," katanya.
Sementara itu, sekumpulan Belia Muafakat Kedah, Mohammad Nasir Abdul Manaf berkata, dia dan penduduk kampung akan bergotong-royong membantu memindahkan keluarga itu ke sebuah rumah sewa baharu di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut, di sini.
"Saya sudah menyuarakan perkara yang menimpa pasangan ini kepada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah," katanya.
#daif #Kedah #Kota Sarang Semut #miskin #Rumah Tangga #susah #tinggal atas pokok #Yan
;