'Isteri PM jangan bersaing dengan suami, sentiasa rendah diri' - Dr Siti Hasmah

Astro Awani
Julai 9, 2015 15:37 MYT
Tun Dr Siti Hasmah kongsi petua menjadi isteri pemimpin, termasuk sentiasa merendah diri dan turut bersama suami ketika bertemu rakyat. -Gambar: Astro AWANI/Shahir Omar
Isteri Perdana Menteri (PM) seharusnya menyokong dan bukannya bersaing bersama suami.
Itulah petua yang dikongsi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara eksklusif bersama portal berita MalaysiaKini.
“Sebagai isteri PM, jangan bandingkan (dengan sesiapa)... secara umumnya kamu mesti sokong suami, kamu mesti berpengetahuan, kamu mesti tahu apa yang berlaku di sekeliling dan kamu mesti pastikan bersama dengan suami apabila bertemu rakyat.
“Orang ramai hendak tahu bahawa ini isteri PM dan mereka bersama-sama, mereka mementingkan kekeluargaan.
“Jadi kamu mesti sokong tetapi jangan sesekali bersaing dengan suami kamu,” begitu pesan Dr Siti Hasmah, 89, yang meminta untuk tidak dibuat perbandingan dengan sesiapa.
Dalam wawancara itu, Dr Siti Hasmah juga menyeru agar isteri Perdana Menteri tidak mudah membuat sebarang janji. Sebaliknya, isteri perdana menteri harus sampaikan pesanan itu kepada suami untuk dipertimbangkan.
“Bukan kerja kamu beritahu orang ramai, 'ya, saya akan pastikan kamu dapat itu ini, kontrak itu ini.'
“Tidak, sebagai PM, beliau (Mahathir) tidak akan benarkan perkara ini, malah anak-anaknya sendiri tidak dibenarkan masuk politik.
"Saya anggota UMNO tetapi tiada jawatan dalam UMNO,” kata Dr Siti Hasmah.
Beliau juga menyeru isteri pemimpin agar sentiasa merendah diri.
Dalam wawancara itu, Dr Siti Hasmah berkata ketika ditugaskan sebagai doktor wanita Melayu pertama di Kedah, beliau banyak bercampur dengan rakyat biasa.
“Kamu mungkin doktor atau mungkin juga isteri MP (anggota parlimen), tetapi jika kamu sombong, mereka (rakyat) tidak akan terima kamu.
“Tetapi mereka (rakyat) ajar saya bagaimana untuk merendah diri, bagaimana buat baik dan bercakap sopan dengan orang,” katanya ketika mengimbau pengalaman berkhidmat di Kedah.
#isteri Perdana Menteri #Mahathir Mohamad #merendah diri #Perdana Menteri #Siti Hasmah
;