Isteri Perdana Menteri jalani prosedur kesihatan, dalam keadaan baik

Astro Awani
Oktober 7, 2024 20:47 MYT
Dr Wan Azizah menjalani satu prosedur kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini - Foto fail/FB Wan Azizah
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjalani satu prosedur kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini.
Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, Dr Farique Rizal Abdul Hamid dalam kenyataan memaklumkan isteri Perdana Menteri itu berada dalam keadaan yang baik.
“Namun (Dr Wan Azizah) masih memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Dr Farique menambah, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas doa serta ingatan buat kesembuhan segera Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.
Selain itu, beliau berterima kasih atas ruang privasi yang diberikan kepada Dr Wan Azizah, 71, untuk menerima rawatan dengan sempurna.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kemas kini di laman Facebook mendoakan agar Dr Wan Azizah diberikan kesembuhan segera.
"Susah senang bersama!
"Doakan kesihatan isteri saya diberi keafiatan sesegera mungkin. Insya-Allah," tulis Anwar.
#Wan Azizah Wan Ismail #prosedur kesihatan #Hospital #rawatan
;