Isteri Pastor Raymond dinobat Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2020

Hasimi Muhamad
Mac 4, 2020 12:57 MYT
Susanna turut disifatkan sebagai seorang yang aktif dalam mencari keadilan terhadap suaminya dan aktivis lain termasuk Amri Che Mat, yang dilaporkan hilang pada 2017. - Gambar Twitter / U.S. Embassy KL
Isteri kepada Pastor Raymond Koh, Susanna Liew antara 12 individu yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2020.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, anugerah tersebut diberikan kepada wanita di seluruh dunia yang telah menunjukkan keberanian dan kepimpinan dalam menyokong keadilan dan hak asasi manusia.
Susanna turut disifatkan sebagai seorang yang aktif dalam mencari keadilan terhadap suaminya dan aktivis lain termasuk Amri Che Mat, yang dilaporkan hilang pada 2017.
Raymond yang merupakan pengasas persatuan Harapan Komuniti, dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya ketika memandu pada 13 Februari 2017.
BACA: Kehilangan paksa Raymond, Amri: Suhakam sedia hantar bukti Cawangan Khas terlibat
“Walaupun berdepan dengan ugutan, dia terus mencari pembelaan untuk suami dan individu lain, bukan keranan kepercayaan mereka, sebaliknya kerana hak mereka sebagai rakyat Malaysia,” demikian kata kenyataan tersebut, hari ini.
Selain Susanna, 11 wanita lain yang dipilih menerima anugerah tersebut adalah dari Afghanistan, Armenia, Azerbaijan, Bolivia, Burkina Faso, China, Nicaragua, Pakistan, Syria, Yaman dan Zimbabwe.
Kesemua finalis yang dipilih akan menyertai Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP), dan akan dibawa melawat beberapa bandar di seluruh negara sebelum kembali ke Los Angeles bagi menamatkan program tersebut pada 16 Mac.
#Afghanistan #Amerika Syarikat #Annual International Women of Courage IWOC #AS #Pastor Raymond Koh #Susanna Liew
;