Isteri komando pengsan terima berita suami terbunuh
Bernama
Mac 1, 2013 23:02 MYT
Mac 1, 2013 23:02 MYT
Noraziah Nor, 29, isteri kepada anggota komando Insp Zulkifli Mamat, 30, tidak dapat menahan sebak dan pengsan sejurus menerima berita kematian suaminya.
"Nak balik, Azi nak balik, tolong bawa Azi balik, tolonglah sesiapa hantar Azi balik," begitulah rintihan Noraziah yang dilihat tidak berhenti-henti menangis ketika ditemui di kediaman bapa angkat pasangan itu di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.
Noraziah yang merupakan guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan terpaksa dipimpin beberapa jiran dan anggota keluarga kerana pengsan sebelum dihantar ke klinik berhampiran.
Pasangan yang menetap di Bandar Baru Putra, Bercham itu mempunyai dua cahaya mata iaitu Mohammad Akmaluddin, 5, dan Mohammad Akhil, setahun dan Noraziah kini mengandung anak ketiga.
Zulkifli, adalah antara dua anggota komando yang terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini.