Isteri Khalid Samad fail pembelaan permohonan poligami

Sinar Harian
Disember 8, 2021 18:52 MYT
Khalid dan isterinya kelihatan tenang dan berjalan seiringan menuju ke tempat meletak kenderaan di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah selepas Zaiton bertemu dengan peguamnya. - Gambar/ Astro AWANI
SHAH ALAM : Isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Dr Zaitun Abu Bakar pada Rabu mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan poligami suaminya, Khalid Abd Samad.
Berikutan kebenaran itu, Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes termasuk kemungkinan memutuskan permohonan poligami sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara bersama.
Kebenaran itu diberikan Pendaftar Mahkamah, Norbyetty Mohd Nasir setelah dua peguam dilantik oleh pihak Zaitun, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Nurfarhana Abd Manaf membuat permohonan tersebut pada Rabu.
Kes tuntutan poligami membabitkan tokoh politik daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan isterinya telah difailkan pada 25 November lalu manakala tarikh perkahwinan kali kedua yang dirancang Khalid didakwa akan berlangsung pada penghujung tahun ini.
Sementara itu, di luar mahkamah, Khalid dan isterinya kelihatan tenang dan berjalan seiringan menuju ke tempat meletak kenderaan di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah selepas Zaiton bertemu dengan peguamnya.
Artikel asal di Sinar Harian: Isteri Khalid fail pembelaan permohonan poligami
#Khalid Samad #poligami #Mahkamah Tinggi Syariah #shah alam
;