Isteri juvana bunuh suami didakwa

Raffi Bachik
Oktober 25, 2017 13:57 MYT
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh suaminya. -Gambar hiasan
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh suaminya.
Juvana itu didakwa membunuh lelaki berusia 28 tahun itu di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira 1.30 petang pada 14 Oktober lalu.
Prosiding dijalankan secara tertutup dan pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh diarah mahkamah supaya dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 November ini bagi menantikan laporan psikiatrik tertuduh.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain.
#Amalina Basirah Md Top #bunuh suami #juvana #Kanun Keseksaan #Seksyen 302 #Sungai Abong #Taman Pertama Indah
;