Isteri hidap dementia tak sedar suami rentung di halaman rumah
Sinar Harian
September 9, 2024 05:30 MYT
September 9, 2024 05:30 MYT
ARAU: Mayat lelaki rentung dipercayai disambar api dari mesin rumput yang terbakar di Jejawi di sini, pada Ahad, dikenal pasti sebagai seorang pesara Telekom Malaysia (TM).
Mayat mangsa, Tunku Mahadzir Tunku Ahmad, 75, ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di halaman sebuah rumah bersebelahan bangunan Majlis Perbandaran Kangar.
Balu mangsa, Sharifah Puziah Syed Ali, 77, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan polis suaminya sudah meninggal dunia dalam kejadian itu.
Menurutnya, arwah suaminya rajin membersihkan laman rumah dan dipercayai pada hari kejadian mangsa sedang membersihkan semak samun.
"Semasa kejadian saya sedang berehat di dalam rumah namun tidak mendengar suara suami meminta pertolongan," ujarnya.
Disebabkan itu, menurutnya, dia tidak mengesyaki ketiadaan suaminya kerana menyangka arwah sebelum itu berada di dalam rumah.
"Walaupun sedih, namun saya reda dengan pemergiannya," katanya sayu.
Adik ipar Sharifah Puziah, Rosida Aziz, 60, pula berkata, kakak iparnya mempunyai ingatan yang agak terhad kerana mengalami dementia.
Menurutnya, kakak ipar memaklumkan ada membuka pintu dan menyedari kepulan asap di luar rumahnya.
"Bagaimanapun, kak Sharifah sangka kepulan asap itu adalah dari sisa rumput yang dikumpulkan dan dibakar oleh suaminya.
"Kami juga tidak mengetahui tentang kejadian hinggalah salah seorang ahli keluarga memaklumkan melalui perkongsian hantaran diperolehi dalam Facebook," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemukan di halaman sebuah rumah di Jalan Jejawi, Arau petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki yang identitinya sedang dikenal pasti itu daripada orang awam melalui panggilan telefon pada jam 6.33 petang. - Sinar Harian