Isteri gemuk antara punca masalah kesuburan - Menteri Kesihatan

Harits Asyraf Hasnan
April 9, 2019 14:09 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Masalah kegemukan dalam kalangan wanita menjadi antara punca masalah kesuburan reproduktif di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain itu masalah lain termasuk hormon, struktural organ dan pemakanan turut menjadi antara punca.
“Akhir zaman ini, kesuburan daripada pihak lelaki dan wanita menjadi isu. Berat atau kegemukan isteri selain kekurangan (sifat) suami dikenal pasti antara kelemahan.
“Ia termasuk sama ada ia berbentuk hormon, struktural, dan juga saya yakin adalah hasil pemakanan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) susulan peningkatan pasangan mendapatkan rawatan kesuburan di hospital awam dan swasta.
Mengikut statistik, jumlah pesakit yang telah menjalani rawatan IVF di empat Hospital Kerajaan iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Wanita Kanak-Kanak Likas dan Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu adalah sebanyak 685 kes pada tahun 2016, 1,039 kes tahun 2017 dan 976 kes tahun 2018.
Peratus kejayaan pesakit yang menjalani prosedur IVF ini secara puratanya sekitar 19 -28 peratus.
“Kadar kejayaan ini bergantung kepada beberapa faktor seperti umur wanita tersebut, jangka masa ketidaksuburan wanita, masalah kesihatan yang sedia ada pada ketika itu, kualiti sperma pasangan dan termasuk juga berat badan ibu tersebut,” jelas Dr Dzulkefly lagi.
Daripada jumlah pesakit tersebut, pesakit yang berjaya hamil setelah menjalani rawatan IVF pada 2016 adalah seramai 197 orang, pada tahun 2017 adalah seramai 207 orang dan pada tahun 2018 adalah seramai 189 orang.
#Dr Dzulkefly Ahmad #Ismail Mohamed Said #Masalah kegemukan dalam kalangan wanita #masalah kesuburan reproduktif #Menteri Kesihatan
;