Isteri fail cerai: Ini penjelasan Sharnaaz Ahmad

Saharudin Musthafa
Ogos 31, 2019 17:09 MYT
Sharnaaz berjanji tidak akan bercakap apa-apa yang buruk mengenai perceraian dengan Nabila sekiranya perkara itu terjadi. - Gambar Instagram SHARNAAZ AHMAD
SEANDAINYA memfailkan perceraian adalah jalan terbaik buat isterinya, tiada apa yang mampu dilakukan oleh aktor Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad selain daripada menerimanya dengan penuh keredaan.
Kepada Sharnaaz, tugasnya sebagai ketua keluarga adalah melindungi dan menjaga maruah keluarga, namun dalam masa sama, dia tidak punya kudrat untuk menghalang hasrat isterinya, Noor Nabila Mohd Noor meminta perpisahan.
"Sebetulnya, saya sendiri tidak tahu nak cakap apa. Memandangkan perkara itu (perceraian) dia (Nabila) yang minta, saya kena ikut sajalah (buat masa sekarang).
"Saya tidak akan bercakap hal yang buruk (mengenai perceraian) kerana saya masih matang dan waras untuk memikirkan bahawa Nabila adalah ibu kepada anak kami (Jebat Jayden).
"Hal rumah tangga adalah terlalu peribadi, sejak dari awal saya tidak gemar berkongsi dengan media. Namun, kerana hal ini sudah dibawa ke mahkamah, saya sekadar ingin memberitahu bahawa saya cukup matang untuk melaluinya," kata Sharnaaz kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Sabtu.
Sharnaaz berkata demikian sebagai mengulas tindakan isterinya, Nabila membuat pengakuan sudah memfailkan perceraian terhadapnya.
Nabila bagaimanapun, enggan mengulas lanjut tindakannya itu.
BACA: Isteri Sharnaaz Ahmad sahkan fail perceraian
Sharnaaz yang baru meraikan ulang tahun kelahiran ke-34 pada Jumaat (30 Ogos) juga menegaskan, seandainya sesuatu yang tidak manis berlaku dalam rumah tangganya, dia akan menerimanya secara gentleman.
"Barangkali, ini harga yang harus saya bayar terhadap setiap keputusan yang saya buat dalam hidup.
"Saya terima dugaan ini secara gentleman. Saya lelaki dan saya adalah orang yang sentiasa tidak gentar menerima risiko dalam hidup," ujar pelakon kelahiran Pulau Pinang itu lagi.
Ketika sebilangan besar netizen mengkritik bahawa masalah rumah tangga yang dihadapinya ada kaitan dengan sikap panas barannya, Sharnaaz menyifatkan, tuduhan sedemikian tidak berasas.
"Baran adalah mainan 'budak-budak' sebelum kahwin," tegasnya ringkas.
Dalam berhadapan situasi yang getir dalam rumah tangganya, Sharnaaz juga menyatakan rasa bersyukur kerana menerima kekuatan daripada ahli keluarganya.
Menurut Sharnaaz, ibu, ayah serta adik-beradiknya sentiasa menghulurkan sokongan moral setiap kali dia memerlukannya.
"Ibu bapa serta adik-beradik saya tidak pernah masuk campur dalam hal rumah tangga saya. Itu prinsip keluarga saya sejak dari awal. Mereka semua yakin bahawa saya sangat dewasa untuk menguruskannya.
"Namun, mereka tidak akan biarkan saya sendirian melalui saat-saat sukar sendirian. Mereka sentiasa ada memberi sokongan moral buat saya," ujar Sharnaaz lagi.
Dalam usaha menangani kemelut rumah tangganya, Sharnaaz berkata, perkara itu akan diserahkan kepada peguam peribadi yang dilantik.
"Insya-Allah saya okey. Saya sentiasa percaya bahawa apa yang berlaku dalam hidup, pasti ada hikmahnya. Apa yang penting ialah fokus dan keutamaan pada anak kami Jebat Jayden.
"Saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa Jebat jangan diheret dalam masalah yang dihadapi oleh ibu dan bapanya," tegas Sharnaaz.
Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan Jebat Jayden merupakan anak tunggal mereka yang kini berusia setahun.
#Jebat Jayden #Noor Nabila Mohd Noor #perceraian #Sharnaaz Ahmad
;