Isteri, dua remaja mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund
Bernama
Mac 12, 2019 10:38 MYT
Mac 12, 2019 10:38 MYT
Balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki itu pada Jun tahun lepas.
Bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Samirah Muzaffar, 44 tahun, dan dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 16 serta 13 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Wanita itu dan dua remaja lelaki tersebut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, didakwa dengan niat bersama telah membunuh Nazrin, 47 tahun, di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.
Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk pengurusan kes.
-- BERNAMA
#Ab Karim Ab Rahman
#balu
#bunuh
#cradle fund
#Eka Wahyu Lestari
#Nazrin Hassan
#remaja
#samirah muzaffar