Isteri ditahan disyaki larikan RM520,000 wang perniagaan suami

Bernama
Januari 28, 2023 13:15 MYT
Suspek berusia 35 tahun itu diberkas susulan laporan polis oleh suaminya yang mendakwa wang tunai dalam peti besi simpanannya hilang.
MELAKA: Polis menahan seorang wanita disyaki melarikan wang perniagaan milik suaminya berjumlah RM520,000 dalam satu serbuan di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berusia 35 tahun itu diberkas susulan laporan polis oleh suaminya yang mendakwa wang tunai dalam peti besi simpanannya hilang.
"Pada 4 Januari lepas kira-kira 6.30 petang pengadu berusia 37 tahun pulang ke rumahnya di Permatang Pasir, Alai dari Kuala Lumpur dan memeriksa dua peti besi di tingkat dua dan tiga, sebelum mendapati wang tunai rutin perniagaannya telah tiada.
"Jumlah wang tunai dalam kedua-dua peti besi itu lebih kurang RM520,000 dan terdapat juga wang tunai lain yang tidak dapat dipastikan jumlahnya serta barang kemas milik emak pengadu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata pengadu yang menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen memaklumkan tiada kerosakan pada peti besi tersebut dan mengesyaki isterinya mencuri wang tunai daripada peti besi itu.
Beliau berkata dalam soal siasat, suspek yang mempunyai masalah dengan suaminya itu tidak mengaku terlibat dengan kes berkenaan selain turut membuat laporan polis bagi menafikan pembabitannya dalam perkara itu.
"Suspek mengatakan dia ada memulangkan RM280,000 iaitu separuh daripada jumlah wang tersebut kepada ipar yang baik dengannya di stesen minyak di Semabok dan iparnya itu juga ada membuat laporan menerima duit tersebut.
"Namun, suspek tidak pulangkan baki wang tersebut menyebabkan kes itu diteruskan, tetapi apabila ditangkap wanita itu tidak mengaku ada memulangkan wang dan mengatakan ia dokumen simpanan tetap sahaja bukannya wang tunai," katanya.
Christopher berkata polis turut merampas telefon bimbit jenama Iphone 12 Pro Max dan suspek direman dua hari hingga semalam, namun telah diikat jamin.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
-- BERNAMA
#polis #Christopher Patit #wang simpanan #isteri larikan wang suami #curi wang
;