Isteri 'digoda' lelaki lain, pekerja pos buat laporan polis
Afiezy Azaman
Mac 20, 2019 21:17 MYT
Mac 20, 2019 21:17 MYT
Polis hari ini mengesahkan tekah menerima laporan mengenai seorang penjawat awam yang mengganggu isteri seorang posmen.
Menurut Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika ini kertas siasatan telah dibuka dan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan seorang posmen membuat aduan kepada polis mendakwa isterinya digoda anggota keselamatan yang dipercayai bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.
Lelaki itu berkata, setakat ini dua laporan polis dibuat ke atas lelaki terbabit, masing-masing pada Ogos 2018 dan Febuari lalu.
Menurut lelaki terbabit, dalam laporan pertamanya dia mendakwa isterinya dan tertuduh bertemu kali pertama di Pulapol pada 2014 ketika menyertai latihan Muay Thai di sana.
Katanya, si isteri yang berusia 32 tahun mengaku bahawa suspek menghantar mesej berbaur lucah melalui aplikasi WhatsApp dan insiden itu didedahkan kepada ibunya pada 2014.
Lelaki itu mendakwa tertuduh terus-menerus mengganggu isterinya sehingga kini.
#498 Kanun Keseksaan
#Ahmad Dzaffir Mohd Yussof
#Ketua Polis Kajang
#mesej berbaur lucah
#penjawat awam
#polis
#posmen
#WhatsApp