Isteri dan dua anak antara penumpang, Ramli Abbas berserah kepada Allah

Astro Awani
Mac 9, 2014 14:02 MYT
Pengerusi Kumpulan Modal Perdana, Datuk Mohamed Ramli Abbas berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menentukan nasib isteri dan dua anaknya yang merupakan antara penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak awal Sabtu.
Katanya, pada masa ini beliau bertenang dan bersabar menghadapi apa yang berlaku kerana itu sajalah yang boleh dibuatnya sekarang.
"Itulah yang sedang saya lakukan walaupun hakikatnya hati saya Allah sahaja yang tahu. Saya berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah," kata Mohamed Ramli.
Beliau berkata demikian dalam satu perbualan telefon dengan bekas Presiden Persatuan Halak Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim dan transkripnya dikongsi di laman Facebook Halak Maindailing.
Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu, beliau akur dengan ketentuan Allah yang mentakdirkan isteri dan anak-anaknya menaiki pesawat yang masih belum ditemui itu.
"Ini hak Allah Taala untuk mentakdirkan mereka berada di dalamnya (MH370). Sudah suratan Allah dan menjadi hak-Nya untuk memilih mereka. Saya redha," katanya.
Isteri Mohamed Ramli, Datin Biby Nazli Mohd Hassim, 62, menaiki pesawat itu bersama dua anak mereka, Maria, 32, dan Dina, 30.
Dalam pada itu, Ramli menyeru orang ramai khususnya masyarakat Mandailing supaya berdoa dan mengadakan solat hajat untuk keselamatan ahli keluarga Mohamed Ramli serta penumpang MH370 yang lain.
##PrayForMH370 #Boeing #Boeing 777 #MAS #MH370 #Ramli Abbas