Isteri banduan tidak sangka dapat beraya bersama suami

Bernama
April 19, 2023 15:37 MYT
Seramai 25 banduan dilepaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen hari ini. - Gambar hiasan/ Bernama
MACHANG: Seorang isteri banduan tidak menyangka berpeluang menyambut Aidilfitri bersama suaminya selepas dilepaskan secara bersyarat menerusi Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di sini hari ini.
Ibu kepada empat cahaya mata yang mahu dikenali sebagai Mah, 42, berkata dia mendapat berita gembira itu semalam selepas dihubungi Pusat Koreksional Machang.
"Hanya Allah yang tahu betapa syukur dan gembiranya saya dan anak-anak selepas dimaklumkan perkara ini. Sebelum ini saya hanya membeli baju raya untuk anak-anak sahaja kerana menyangka tidak dapat beraya bersama suami kerana dia sepatutnya dibebaskan pada Mei ini," katanya.
Mah ditemui pemberita pada Majlis PBSL Ihsan MADANI Kepulangan Yang Dinanti Sempena Aidilfitri di Pusat Koreksional Machang di sini hari ini.
Menurut Mah, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan memiliki dadah dan dijatuhi hukuman penjara Oktober tahun lepas ketika dia sedang sarat mengandungkan anak keempat.
Katanya detik hitam itu cukup memberi kesan kepada dia dan anak-anak selain hilang punca pendapatan utama keluarga.
"Sebagai isteri saya tetap setia menunggu pembebasan suami dan hari ini saya seperti bermimpi kerana disaat-saat tiga hari menjelang raya, suami dibebaskan," katanya.
Sementara itu, banduan terbabit yang mahu dikenali sebagai Uji, 42, berkata dia sangat bersyukur kerana terpilih dilepaskan menerusi PBSL sekali gus membolehkannya beraya bersama keluarga tercinta tahun ini.
Katanya peluang yang diperoleh itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan diri selain berazam menjadi suami dan bapa yang lebih bertanggungjawab kepada keluarga.
Pengarah Pusat Koreksional Machang Penolong Kanan Komisional Mohd Nasir Yusof berkata seramai 25 banduan dilepaskan menerusi PBSL hari ini.
Beliau berkata mereka terdiri daripada 20 banduan yang diserahkan kepada majikan manakala lima lagi diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk menjalani pemulihan dalam komuniti sebelum dibebaskan sepenuhnya selepas tempoh hukuman sebenar tamat.
Menurut Mohd Nasir kebanyakan banduan yang dilepaskan mempunyai baki tempoh hukuman tidak melebihi tiga bulan.
Katanya seramai 607 banduan dilepaskan melalui program PBSL tahun lepas manakala 275 daripada keseluruhan 2,653 banduan dilepaskan setakat April tahun ini.
-- BERNAMA
#banduan #sambutan aidilfitri #beraya dengan keluarga #Pelepasan Banduan Secara Berlesen
;