Isteri antara ditahan bantu siasatan kes bunuh suami
Sinar Harian
April 22, 2020 15:35 MYT
April 22, 2020 15:35 MYT
Lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki berusia 55 tahun yang ditemui dalam bilik air rumahnya di Taman Makmur di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, wanita berusia 46 tahun yang juga isteri mangsa ditahan bersama empat lagi individu berusia 16 hingga 29 tahun yang berada di rumah berkenaan.
Menurutnya, dalam kejadian jam 8.30 malam pada 10 April lalu itu, isteri mangsa menghubungi Balai Polis Tanjong Karang Karang memaklumkan suaminya tidak sedarkan diri kerana jatuh di bilik air.
"Siasatan dijalankan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia berikutan terdapat beberapa kesan melecur yang teruk di beberapa bahagian tubuh dipercayai disimbah dengan air panas," katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya motif pembunuhan disebabkan masalah keluarga.
"Semua individu direman selama 12 hari sejak 11 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.