Isteri anggota tentera tikam suami hingga maut direman lima hari
Shafik Ahmad
April 6, 2022 12:15 MYT
April 6, 2022 12:15 MYT
KOTA SAMARAHAN: Suspek kes tikam anggota tentera direman lima hari sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, permohonan reman dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Sataia Kombi di Mahkamah Kota Samarahan pada jam 9 pagi.
"Mahkamah membenarkan permohonan itu untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam kejadian pada Isnin, seorang anggota tentera maut selepas kehilangan banyak darah akibat kecederaan di paha kiri dipercayai ditikam oleh isterinya.
Kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya menggertak mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sehingga tertikam pada anggota badan mangsa.
Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Difahamkan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang kini dijaga keluarga suspek.
Sudirman berkata ketika kejadian suspek berada dalam keadaan normal.