Isteri, anak nelayan lemas terima faedah Perkeso

Astro Awani
Mei 20, 2024 17:40 MYT
Steven Sim bertanya khabar balu dan anak Allahyarham Mohd Azrul ketika program Ziarah Prihatin di kediaman mereka. - Gambar/ Perkeso
BALIK PULAU: Balu dan empat anak nelayan yang ditemui lemas ketika mencari rezeki di laut di Pulau Pinang pada 5 April lalu mendapat faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata Allahyarham Mohd Azrul Rosli adalah pencarum Perkeso menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), sejak 24 Februari 2020.
Caruman beliau dibuat menerusi inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang melalui potongan sekali dalam setahun menerusi elaun sara hidup bulanan yang diterima daripada LKIM.
Katanya, caruman itu melayakkan warisnya menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,395 untuk setiap bulan dan Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 secara sekali bayar.
“Skuad Perkeso Prihatin yang mendapat makluman berhubung kes ini mendapati Allahyarham Mohd Azrul adalah pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso sejak lebih empat tahun lalu.
“Justeru, balunya, Aiza Musliha Muda menerima bayaran pertama FOT pada Jumaat lalu hasil caruman Allahyarham untuk meneruskan kehidupan.
“Bayaran FOT berkadar RM1,395 akan diberikan dan dibahagi mengikut syer masing-masing untuk sepanjang hayat buat Aiza, manakala empat anak Allahyarham adalah sehingga mereka berusia 21 tahun atau selagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Prihatin ke kediaman Allahyarham Mohd Azrul, di Titi Teras, di sini, selain menyerahkan sumbangan wakallah Perkeso dan kotak prihatin.
Turut hadir Pengarah LKIM Pulau Pinang, Raymond Rosidih; Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan Khairil Anuar Chek Mat dan Pengurus Perkeso Pulau Pinang, Chiam Hong Lan.
Pada 4 April lalu, gerakan mencari diaktifkan apabila Mohd Azrul dilaporkan tidak pulang daripada keluar menangkap ikan secara bersendirian, sebelum ditemui mati lemas sehari kemudian.
Steven berkata, ketika ini terdapat 37,047 nelayan sahaja yang berdaftar daripada keseluruhan 611,617 OBS aktif menerusi Akta 789, manakala itu Perkeso sudah meluluskan sebanyak 1,925 kes tuntutan faedah SKSPS bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan jumlah pembayaran yang mencecah RM8.01 juta.
“Oleh itu, individu bekerja sendiri termasuk nelayan perlu cakna mengenai kepentingan jaringan keselamatan sosial dalam menyediakan perlindungan komprehensif yang bukan sekadar menjaga kebajikan pencarum, sebaliknya turut meliputi kebajikan orang tanggungan mereka,” jelasnya.
#Nelayan lemas #perkeso #talian hayat #Steven Sim Chee Keong
;