Istana Pahang tarik semula gelaran Datuk bagi Farid Kamil, Boy Iman
Astro Awani
Februari 10, 2021 17:59 MYT
Februari 10, 2021 17:59 MYT
KUANTAN: Gelaran darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada dua selebriti tanah air, Farid Kamil Zahari dan Boy Iman ditarik semula oleh Istana Pahang.
Pengumuman penarikan semula darjah kebesaran itu dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pahang selaku Pendaftar Darjah menerusi kenyataan media.
“Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama berikut ditarik balik dan dibatalkan.
“Penama terbabit tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang serta-merta,” kata kenyataan itu.
Selain Farid Kamil dan Boy Iman atau nama sebenarnya, Noruliman A Rahman, turut ditarik semula pingat kebesaran mereka ialah tiga ahli perniagaan iaitu Wong Shee Kai @ Ricky (DIMP) ; Tran Thi Mai @ Maimunah dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemman.
Pengumuman berkenaan turut memaklumkan tarikh penarikan semula gelaran berkenaan daripada penerima-penerima itu kecuali Syed Mohammad Faiz berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Penarikan semula darjah kebesaran daripada Syed Mohammad Faiz pula berkuat kuasa 12 November 2020.
Kesemua mereka turut diarahkan menyerahkan kembali pingat dan darjah kebesaran yang diterima.