Istana Pahang nafi kewujudan akaun TikTok Tengku Afzan tawar 'Bantuan Ramadan'

Bernama
Mac 6, 2025 23:49 MYT
Istana Pahang berharap orang ramai akan memastikan dahulu kesasihan sesuatu perkara melalui portal dan akaun rasmi iaitu Kesultanan Pahang dan Istana Pahang sahaja. - Gambar FB Kesultanan Pahang
KUANTAN: Istana Pahang menafikan kewujudan akaun TikTok yang menggunakan nama anakanda Sultan Pahang Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, yang menawarkan 'Bantuan Ramadan' kepada orang ramai.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan terdapat satu tawaran 'Bantuan Ramadan' yang tersebar di aplikasi TikTok, menggunakan nama @tpafzanaminahafidzatul menyatakan bantuan bernilai RM1,000 akan diberikan kepada orang ramai.
"Penyamar itu memberitahu bahawa bantuan Ramadan tersebut akan dikurniakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kepada orang ramai.
"Orang ramai diminta untuk tidak mempercayai dan lebih berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu khususnya yang membawa kepada kegiatan penipuan dalam talian," menurut hantaran itu.
Istana Pahang juga berharap orang ramai akan memastikan dahulu kesasihan sesuatu perkara melalui portal dan akaun rasmi iaitu Kesultanan Pahang dan Istana Pahang sahaja.
-- BERNAMA
#penipuan dalam talian #Facebook #Sultan Pahang #TikTok
;