Istana Pahang buat laporan polis terhadap Muhyiddin
Amirul Aiman
Ogos 19, 2024 11:55 MYT
Ogos 19, 2024 11:55 MYT
KUALA LUMPUR: Istana Pahang membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung kenyataannya yang menyentuh isu agama, raja, dan kaum (3R) semasa kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, laporan itu dibuat selepas menonton rakaman video di platform YouTube yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun.
Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin dianggap berbahaya kerana boleh menghasut rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.
"Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R. Malah, kenyataan tersebut jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Disebabkan itu saya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan ke atas Muhyiddin," kata Amir Syaffiq.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Ahad malam.
Sebelum ini, Amir Syaffiq menjelaskan, dalam rakaman tersebut, Muhyiddin didakwa menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah, tidak menjemputnya ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.
"Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah (sebagai Agong pada ketika itu) seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut Perlembagaan," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Pada Ahad, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihak polis telah menerima 28 laporan terhadap pengerusi Perikatan Nasional tersebut yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri.
Beliau menambah bahawa siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Tags: Muhyiddin Yassin, Istana, Pahang, polis, 3R