Istana Negara lama dijadikan Muzium Diraja
Bernama
Januari 22, 2013 16:28 MYT
Januari 22, 2013 16:28 MYT
Buat pertama kalinya, rakyat dibolehkan melawat bilik-bilik di Istana Negara lama yang pernah menjadi penginapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berikutan bangunan lama itu dijadikan Muzium DiRaja dan dibuka kepada umum mulai 1 Feb.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Datuk Ibrahim Ismail berkata sebelum ini Balairong Seri di istana itu telah dibuka kepada umum sebagai medan Pameran Raja Kita mulai April tahun lepas.
"Kita menerima respons daripada orang ramai yang mahu melawat ke dalam Istana Negara, akhirnya kerajaan memutuskan untuk membuka istana itu sebagai sebuah muzium," katanya kepada pemberita semasa mengiringi lawatan media ke istana itu Selasa.
Kira-kira 40 anggota media dan wakil agensi pelancongan dibawa melawat selama dua jam dan buat pertama kalinya memasuki Istana Negara setinggi dua tingkat dengan 22 bilik termasuk bilik beradu, pejabat, dewan, ruang makan dan istirehat.
Katanya, pembukaan muzium itu akan dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 1 Feb.
"Kita akan buka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang, pada peringkat awal, orang ramai akan diiringi oleh pegawai kita yang akan memberikan taklimat mengenai setiap bilik dan ruang yang pernah digunakan.
"Pada masa akan datang, kita akan gunakan kemudahan multimedia," katanya.
Sejarah Istana Negara bermula sebagai rumah agam yang dibina pada 1928 dan penggunaannya berakhir pada November 2011 apabila Istana Negara baharu didirikan di Kompleks Istana Negara di Jalan Duta di sini.