Istana Negara laksana sekatan pergerakan separa
Astro Awani
Oktober 13, 2020 16:40 MYT
Oktober 13, 2020 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa 14 Oktober nanti, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown).
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin sekatan pergerakan separa dilaksanakan atas titah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jelas beliau, pelaksanaan pergerakan separa itu berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.
"Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara," katanya menerusi satu kenyataan media.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.
Beliau menjelaskan, Al-Sultan Abdullah membuat gesaan itu susulan perkembangan terkini COVID-19 yang agak membimbangkan berikutan kenaikan berterusan tiga digit kes positif harian serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu.
Selain itu kata beliau, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tengah malam ini.
"Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan COVID-19.
"Baginda turut meminta rakyat mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan SOP sepanjang berada dalam PKPB itu," katanya lagi.
Pada Isnin, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam ini hingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19.
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Istana Negara
#Al Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#sekatan pergerakan separa
#semi-lockdown
#COVID-19