Istana Kesuma di Alor Setar musnah dalam kebakaran
Astro Awani
Mac 18, 2015 14:13 MYT
Mac 18, 2015 14:13 MYT
Sebuah istana yang terletak di Jalan Tunku Bendahara, Taman Golf di sini musnah terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Ia melibatkan bangunan Istana Kesuma yang dalam proses pengubahsuaian dan pendawaian semula di istana itu sejak dua bulan lalu.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman, ketika kejadian tiada mangsa dilaporkan berada di dalam istana tersebut.
Pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 2.10 pagi sebelum bergegas ke lokasi dengan empat puluh orang anggota dari JBPM Jalan Raja, Jalan Tun Razak yang diketuai Pegawai Kanan Bomba 2, Mohd Firdaus Daud termasuk beberapa buah jentera dari bomba sukarela.
Sebaik tiba di lokasi, api masih marak membakar sebahagian bangunan berkenaan menyebabkan pihaknya bertungkus lumus untuk memadamkan api dari terus merebak ke bahagian lain istana.
Beliau berkata, kebakaran itu melibatkan bangunan istana Kelas A yang dalam proses pembaikan berkeluasan 80 kaki panjang dan 50 kaki lebar.
Bagaimanapun, api berjaya dikawal pada jam 3.07 pagi.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, 40 peratus bangunan istana tersebut rosak dijilat api.
Pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian yang dialami.