Istana Budaya terbitkan program sendiri bermula Oktober
Astro Awani
September 8, 2021 16:38 MYT
September 8, 2021 16:38 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan kelonggaran yang diberikan kepada penggiat industri kreatif, Istana Budaya akan menerbitkan program-programnya bermula Oktober nanti.
Ketua Pengarahnya, Zaiton Md Desa berkata, Istana Budaya berhasrat menerbitkan program tersebut setelah usaha itu terpaksa ditunda atau dibatalkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Menurut Zaiton, sebelum pengumuman pelaksanaan PKP, Istana Budaya telah merancang dan membuat persediaan untuk mementaskan tujuh program muzik sama ada secara rakaman atau langsung.
"Istana Budaya telah merancang dan membuat persediaan untuk mementaskan tujuh program muzik sama ada secara rakaman atau langsung antaranya “Konsert Rentak Kita”, “Konsert Patriotik Tanah Airku”, “Konsert NSO bersama Bintang”, “Gamelan Gema Gangsa” dan “Wayang” yang berkisar warisan tradisional wayang kulit.
"Sehubungan itu, sehingga hujung tahun ini, Istana Budaya akan mengisi ruang persembahan dengan program-program terbitan sendiri secara langsung yang dijangka bermula Oktober 2021 berikutan kebanyakan program yang dirancang sebelum ini terpaksa ditunda atau dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menjelaskan, sempena program Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 bermula 16 Ogos lalu, pihaknya akan meneruskan program Semarak Merdeka Istana Budaya yang dijadualkan sehingga 16 September secara dalam talian.
"Pada penghujung sambutan dan bersempena Hari Malaysia 2021, tayangan khas persembahan “COM – Semarak Merdeka Istana Budaya 2021 Orkestra Tradisional Malaysia” akan disiarkan mengikut segmen bermula 8 pagi sehingga 8 malam di laman media sosial Istana Budaya," katanya lagi.
Sehubungan itu, Zaiton berharap video-video yang dihasilkan dapat memberi maklumat dan pendedahan yang boleh dijadikan rujukan buat orang ramai serta menarik minat masyarakat untuk terus mengikuti program-program Istana Budaya secara dalam talian.