Istana Budaya guna teknologi hijau selaras aspirasi global terhadap alam sekitar
Bernama
September 26, 2024 10:20 MYT
September 26, 2024 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Istana Budaya mengambil inisiatif menggunakan teknologi hijau bagi meminimumkan kesan terhadap alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam sekitar sejajar dengan aspirasi global untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, antara langkah awal yang diambil adalah menukar lampu sedia ada kepada lampu LED yang dapat menjimatkan tenaga sejak Ogos lepas.
Beliau berkata, satu kajian sedang dijalankan untuk mengubah sistem mekanikal yang dijangka dapat mengurangkan kadar bil elektrik tinggi terutama ketika melaksanakan satu persembahan pentas.
"Istana Budaya yang sudah mencapai usia 25 tahun penubuhan juga sedang mempelajari penggunaan sistem penyejukan dan cooling tower lebih efisien selain bercadang ke arah pengoperasian lebih optimum, dan mesra alam," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi mengembalikan kegemilangan Istana Budaya sebagai pentas bertaraf dunia, Zubaidah berkata, beberapa penambahbaikan melibatkan penggantian aset seperti sistem overstage dan pencahayaan di pentas utama Panggung Sari perlu dilaksanakan.
"Mekanisme teknologi pentas sedia ada merupakan antara yang terbaik di dunia. Jadi, matlamat utama kepada penambahbaikan ini adalah bagi menjadikan Istana Budaya seperti baharu selaras dengan prestijnya," katanya.
Beliau berkata, Istana Budaya juga terus memperkasakan tiga produk utamanya iaitu Orkestra Tradisional Malaysia, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Artis Tari Istana Budaya (Artistana) bagi membangunkan kecemerlangan artistik dalam seni persembahan bertaraf dunia.
Katanya, sebagai kumpulan profesional seni persembahan, pihaknya sangat menggalakkan Artistana mengambil Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu supaya mereka menjadi penggiat seni yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
"Ini kerana, Istana Budaya memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan bagi persembahan kepada beberapa projek mega selaras Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pembahagian slot persembahan di Istana Budaya masih sama iaitu pada kadar 70 peratus bagi tempatan dan bakinya untuk antarabangsa setiap tahun, namun kadar harga sewaan akan diumumkan kelak.
"Kita menyediakan ruang ini untuk komuniti pelbagai kaum yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat. Kita juga bukanlah mahu mengejar untung sebaliknya memberi peluang kepada semua karyawan terutama yang mempromosikan seni tradisional dan warisan negara," katanya.
Pada masa sama, Zubaidah berkata, penyertaan Istana Budaya dalam Association of Asia Pacific Performing Arts Centres (AAPPAC) sejak 2010 adalah usaha untuk memperluas jaringan, berkongsi pengetahuan dan memperkenalkan program serta produk seni negara di peringkat antarabangsa.
- BERNAMA