Istana Budaya catat kutipan RM6.144 juta pada 2022
Bernama
Februari 21, 2023 04:20 MYT
Februari 21, 2023 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Istana Budaya mencatatkan penjualan kutipan tiket sebanyak RM6.144 juta hasil daripada 15 program dan 39 pementasan yang dipertontonkan sepanjang 2022.
Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata sepanjang tahun tersebut jumlah keseluruhan penonton adalah seramai 29,405 manakala nilai publisiti Istana Budaya berjaya mencecah sebanyak RM52 juta.
"Sebelum ini, Istana Budaya telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Artistana dalam beberapa program kesenian dan kebudayaan yang diadakan di negara-negara lain seperti Korea, India dan Vietnam.
"Antara pencapaian yang diraih adalah penerbitan video muzik Asia Traditional Orchestra (ATO) di Gwangju, Korea, Festival Muzik ASEAN-India di New Delhi, India dan Festival Muzik ASEAN-Vietnam di Hoi An, Viet Nam," menurut satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Zubaidah bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Yusri Mohd Yusoff melancarkan Program 2023 Istana Budaya.
Menurut kenyataan itu, Istana Budaya pada tahun ini akan membuka tirai dengan program pementasan Konsert Diraja, Kementerian Pendidikan Malaysia dan akan disusuli dengan beberapa program lain.
"Hari ini juga pihak kami turut melancarkan kempen Gerak yang bertujuan untuk menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap kesenian negara.
"Antara program yang disusun untuk kempen Gerak ini adalah Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia, Siri Jelajah IB Sulur Nakasari, NSO Lambang Sari Series 2023, IB In The Park, Konsert Mega Kembara Muzik Tradisional dan Echoes of Bronze, ASEAN," katanya.
-- BERNAMA