Israk & Mikraj: PM Anwar seru rakyat perbaharui tekad, insafi pengalaman Nabi Muhammad SAW
Astro Awani
Februari 18, 2023 11:40 MYT
Februari 18, 2023 11:40 MYT
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk memperbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW untuk bangkit lebih bertenaga memulihkan maruah serta meningkatkan martabat dan harakat rakyat.
Sempena Israk dan Mikraj, Anwar mengenang kembali peristiwa agung permusafiran ruhaniyyah yang dihadiahi Allah SWT kepada kekasihNya tatkala sedang diuji berat dengan pemergian suri hatinya Khadijah dan bapa saudara Abu Talib.
"Maruah dihina dalam episod getir di Taif hampir menjatuhkan semangat junjungan Baginda, namun ternyata kembali pulih sepulangnya Baginda Nabi dari Sidratul Muntaha, sambil mengemban amanah baru buat membebaskan umat dari belenggu kejahilan.
"Maka, bermulalah kewajiban solat lima waktu selaku tonggak perhubungan abadi antara hamba dengan Penciptanya. Akidah dan akhlak harus diperteguh sebelum umat tampil memikul kewajiban yang lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara.
"Justeru di samping mengenang peristiwa agung ini, sama-sama kita memperbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman junjungan tercinta Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, untuk bangkit dengan lebih bertenaga," ucapnya menerusi perkongsian di platform media sosialnya pada Sabtu.
Anwar turut mendoakan agar negara akan terus peroleh keredhaan Allah SWT.