Israel tidak boleh dibiarkan bebas tanpa hukuman - Anifah Aman
Bernama
September 27, 2015 13:35 MYT
September 27, 2015 13:35 MYT
Israel tidak boleh dibiarkan bebas tanpa hukuman berhubung tindakannya berterusan melakukan serangan dan pencerobohan di Al-Quds Al-Sharif, termasuk serangan baru-baru ini ke atas Masjid Al-Aqsa yang menyedihkan rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.
Menegaskan tindakan pelanggaran hak secara provokotif dan terang-terangan oleh Israel itu langsung tidak boleh diterima, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan itu jelas melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Namun, pihak Israel terus melakukannya dan bebas daripada hukuman. Kita tidak boleh membiarkan ini berterusan tanpa sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Anifah berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Malaysia pada mesyuarat kedua Kumpulan Hubungan mengenai Mempertahankan Perjuangan Palestin dan Al-Quds Al-Sharif, Peringkat Menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini pada Sabtu.
Malaysia, katanya mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan oleh Israel ke atas masjid itu dan serangan terhadap umat Islam.
"Adalah jelas bahawa tindakan tidak bertanggungjawab Israel itu merupakan kesinambungan daripada strategi jangka panjang mereka untuk memisahkan Masjid Al-Aqsa kepada bahagian dan waktu.
"Ia juga merupakan cubaan untuk mengubah ciri-ciri Islam Arab dan struktur demografi Al-Quds Al-Sharif," kata Anifah.
Menteri Luar berkata provokasi serius seumpama itu berpotensi mencetuskan keganasan sehingga di luar kawasan Baitulmaqdis berikutan ketegangan akibat isu-isu keselamatan lain kian memuncak.
Beliau menegaskan masyarakat antarabangsa perlu tahu akan impak serius daripada serangan dan pencerobohan berterusan oleh Israel ke atas Al-Quds Al-Sharif.
"Mereka perlu sedar bahawa tindakan yang dilakukan oleh regim Israel itu boleh mencetuskan lebih banyak keganasan dan berpotensi menjadi konflik agama.
"Ini tidak disangsikan boleh mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa," kata Anifah.
Dipengerusikan Maghribi, anggota Kumpulan Hubungan terdiri daripada Palestin, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Guinea, Malaysia, Turki, Azerbaijan dan setiausaha agung OIC, dengan penyertaan Qatar.
Selepas berakhirnya mesyuarat itu yang diadakan di luar Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, menteri-menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan mengutuk pencabulan secara berterusan, sistematik dan berskala besar oleh Israel ke atas wilayah Palestin.
Mereka menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, agar melaksanakan tanggungjawab untuk campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang menceroboh Al-Quds Al-Sharif.
Kumpulan Hubungan turut mempertikaikan sikap Tel Aviv yang berterusan berprasangka buruk terhadap tempat-tempat suci dalam bandaraya Al-Quds Al-Sharif, khususnya Masjid Al-Aqsa, dengan hasrat untuk membahagikan masjid kepada bahagian dan ruang untuk sementara waktu.
Ini, katanya, terang-terangan merupakan pencabulan terhadap kesahihan resolusi dan ketetapan undang-undang antarabangsa yang menetapkan Al-Quds adalah bahagian penting dalam wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.
"Semua amalan dan tindakan Israel yang bertujuan untuk menjadikan bandaraya Al-Quds hanya untuk penganut agama Yahudi sahaja, termasuk dasar pembersihan etnik, penempatan dan cubaan mengubah statusnya di sisi undang-undang, ciri geografi dan komposisi demografi, adalah tidak sah dan batal," kata Kumpulan Hubungan itu.