Israel minta maaf sambil pejam mata

Ashwad Ismail
Mac 23, 2013 16:12 MYT
Pukul tiga pagi. Lebih tepat, tiga pagi Sabtu waktu Malaysia. Ketika sedang asyik melayan aksi dan jenaka Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, saya terima beberapa mesej ringkas yang bunyinya sama.
"Tengok CNN, Israel sudah memohon maaf kepada Turki berhubung insiden Mavi Marmara," mesej ringkas dari beberapa sahabat serta seorang VVIP yang masih lagi berjaga ketika itu.
Sebagai 'tukang cerita' yang jadi saksi kekejaman rejim Zionis Israel ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara, tiga tahun lalu, reaksi pertama yang terlintas dari lubuk hati amat ringkas.
"Ahh! Israel."
Apa maknanya permohonan maaf Rejim Zionis Israel, tiga tahun selepas pembantaian segenap sudut kapal Mavi Marmara?
Jawapannya mudah, tak ada makna apa-apa. Kosong.
Sebagai seorang wartawan, mahasiswa sains politik dan hubungan antarabangsa, saya melihat permohonan maaf rejim Tel Aviv sepatutnya bukan hanya kepada Turki, tetapi rakyat Palestin yang paling utama.
Tanggal 31 Mei 2010, saya dan jurukamera Samsul Kamal Latip serta 10 sukarelawan Malaysia yang ditahan bersama aktivis Flotila Pembebasan Gaza yang lain merasai sendiri bagaimana sengsaranya hidup sebagai rakyat Palestin.
Hidup dalam keadaan yang sarat dengan rasa tidak tentu, berdiri pun setinggi lengan ibaratnya. Pedih dan perih, semuanya menindih. Tetapi tidak mati rasa. Zikir tetap diteruskan walau dari jauh, di bumi yang aman ini.
Masyarakat di bumi anbia itu selama ini memerah keringat, menumpahkan darah dan menitiskan air mata mengharungi derita berdekad lamanya menghadap kekejaman Zionis. Kepada mereka jugalah Israel berhutang maaf.
Permintaan maaf itu juga menunjukkan kepada kita kedudukan Turki. Ramai penganalisis politik sebelum ini melihat Turki merupakan negara Islam yang berani dan berupaya menerajui usaha memerdekakan Palestin.
Hujah itu berdasarkan kepada kedudukan serta dasar luar Ankara yang sentiasa pragmatik, malah ada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Permohonan maaf Israel pula hanya menjurus kepada kematian 9 saudara aktivis dari Turki yang semasa kejadian berada di dek paling atas kapal berkenaan.
Kenyataan mengenai permohonan maaf itu pun datangnya daripada 'si abang', iaitu White House.
Langkah itu dilihat tidak lebih daripada sekadar mengkonstruk keadilan sebagai kosmetik pentas diplomasi yang sarat dengan agenda halus Amerika Syarikat dan Israel di rantau Asia Barat.
Jangan kita lupa keadaan yang berlaku di negara jiran kepada Turki iaitu Syria yang berdepan ketidakstabilan selepas dipukul badai kebangkitan rakyat sejak awal 2011.
Keadaan itu mendesak campur tangan antarabangsa, atau lebih tepat campur tangan 'pencatur-pencatur kuasa' di sana.
Walaupun Israel memohon maaf kepada Turki, gelora penentangan dunia terhadap agenda perluasan wilayah, dasar Israelisasi serta penjajahan terhadap Palestin tidak akan padam.
Bendera merah, hitam, putih dan hijau tidak akan pudar warna sebaliknya panji itu akan terus berkibar megah sehingga kiamat.
Semangat Mavi Marmara hanyalah katalis kepada perjuangan membuka pintu sempadan Gaza.
____________
Ashwad Ismail ialah wartawan Astro Awani yang berada di kapal Mavi Marmara semasa serangan tentera Israel pada 31 Mei 2010. Beliau dan jurugambar, Samsul Kamal Abdul Latip yang ditahan bersama 10 aktivis Malaysia yang lain dibebaskan dua hari kemudian.
#Ashwad Ismail #flotilla #Israel #Mavi Marmara #Turki #Zionis
;