Ismail Sabri ziarah bekas wartawan Utusan yang diuji masalah kesihatan

Astro Awani
Februari 1, 2023 18:50 MYT
Ismail Sabri Yaakob (kiri) berbual dengan Rosli Manah (tengah) ketika berkunjung ke rumah bekas wartawan Utusan itu hari ini. Hadir sama Ruhaidini Abd Kadir.
KAJANG: Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini meluangkan masa menyantuni bekas wartawan hiburan Malaysia, Rosli Manah, di kediaman beliau, di sini.
Rosli yang berusia 55 tahun dan pernah berkhidmat selama lebih 26 tahun di Utusan Melayu kini berhadapan dengan masalah kesihatan.
Ismail Sabri meluangkan masa hampir sejam berbual dengan Rosli dan isterinya Asma Ghani serta dua orang anaknya, Aasif Esfan, 26, dan Daniel Ashman, 18 (anak bongsu).
Sementara anak sulung Rosli, Dean Ilham, 27, keluar bekerja.
Ismail Sabri mula mengenali Rosli secara peribadi pada tahun 2007.
Hubungan mereka menjadi akrab selepas Rosli banyak membantu karier seni anak Ismail Sabri iaitu Gadaffi (Dafi) yang pernah menempa kemasyhuran menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) terbitan Astro.
Sejak mengambil pakej skim pemisahan secara sukarela (VSS) yang ditawarkan Utusan Melayu pada hujung 2018, Rosli melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya.
Turut mengiringi Ismail Sabri dalam kunjungan itu ialah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir serta Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.
#ismail sabri yaakob #Ismail Sabri ziarah wartawan #Rosli Manah #wartawan Utusan Melayu
;