Ismail Sabri zahir ucapan takziah kemangkatan Presiden UAE

Bernama
Mei 13, 2022 05:30 MYT
Ismail Sabri berkata Malaysia amat menghargai sumbangan murni Sheikh Khalifa yang telah mengukuhkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara. - Foto Facebook/Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan rakyat negara itu atas kemangkatan Presidennya, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Perdana Menteri berkata beliau sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai kemangkatan Pemerintah Abu Dhabi itu yang disifatkannya sebagai pemimpin berwawasan serta telah berjasa besar kepada kemajuan dan kemakmuran UAE.
"Pencapaian, kebijaksanaan dan kemurahan hati Almarhum telah memberi manfaat kepada rakyat UAE dan seluruh umat Islam," katanya.
Ismail Sabri berkata Malaysia amat menghargai sumbangan murni Sheikh Khalifa yang telah mengukuhkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.
"Doa dan ingatan saya sentiasa bersama Yang Mulia, Ahli Kerabat Diraja dan rakyat UAE dalam menghadapi waktu-waktu yang sukar ini.
"Semoga Allah SWT merahmati Yang Mulia Almarhum dan menempatkan rohnya bersama-sama golongan yang soleh. Al-Fatihah," katanya dalam catatan melalui akaun Facebook.
Menurut laporan media, Sheikh Khalifa yang memerintah sejak 2004 meninggal dunia pada usia 73 tahun pada Jumaat selepas berehat lama akibat sakit.
BACA: Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia
Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #presiden UAE #Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum #takziah
;